BUNG DAN ISTERI MASIH BELUM SELAMAT, JABATAN PEGUAM NEGARA FAIL RAYUAN PEMBEBASAN

BUNG DAN ISTERI MASIH BELUM SELAMAT, JABATAN PEGUAM NEGARA FAIL RAYUAN PEMBEBASAN

0
SHARE
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad...(Sumber Foto: Bernama)

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad masih belum selamat sepenuhnya selepas pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan keduanya atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Memetik laporan BH, perkara berkenaan disahkan melalui sumber Jabatan Peguam Negara (AGC) dan juga Peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette semasa dihubungi Bernama.

“Betul, rayuan difailkan pada Jumaat lalu,” katanya.

Pada 7 September lalu, Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid, memutuskan untuk membebaskan pasangan berkenaan selepas membenarkan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri pada tahun lalu.

Mahkamah Tinggi mendapati tiada bukti yang menunjukkan dua saksi pendakwaan iaitu ejen Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid, memberi wang rasuah kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu melalui Zizie Izette.

Azhar dalam keputusannya dilaporkan berkata, mahkamah membuat dapatan itu selepas pemeriksaan dan penelitian terhadap rekod prosiding.

Sehubungan itu, ia adalah kes yang betul dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa semakan mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.

Pada 2 September tahun lalu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 45, membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar menerusi nama Zizie Izette atas sebab dan tempat yang sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.