
TUARAN, SABAH – Rumah Perantaraan ketiga di Sabah yang terletak di Kampung Panjut mulai beroperasi semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rumah tersebut merupakan yang ke-14 seumpamanya di Malaysia dan ketiga di Sabah yang mana dua lagi masing-masing di Kepayan dan Sandakan.
“Rumah perantaraan ini berfungsi untuk menyediakan perkara asas kepada penghuni penjara yang telah dibebaskan dan mempunyai kesukaran untuk kembali semula ke dalam keluarga atau masyarakat.
“Bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, pelbagai program turut akan diadakan di rumah perantara untuk membangunkan kemahiran dan mengekalkan disiplin yang dipelajari sewaktu dalam tahanan.
“Kewujudan rumah perantara ini amat membantu dan berjaya mengurangkan jumlah mereka yang mengulangi kesalahan dan dipenjarakan semula ataupun dikenali sebagai residivis.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Kebajikan Suria yang diterajui oleh Datuk Raya Erom atas kesudian menyumbangkan premis ini untuk digunakan sebagai rumah perantara,” ujarnya kepada media selepas Majlis Perasmian Rumah Perantaraan Tuaran di sini, pada Isnin.
Sementara itu, mengulas mengenai belanjawan 2024 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima peruntukan sebanyak RM19 billion iaitu peningkatan sebanyak RM500 juta daripada tahun 2023.
“Antara inisiatif bajet yang ingin saya tekankan adalah peruntukan sebanyak RM10 juta untuk pembukaan Baitul Mahabbah sebagai premis penjagaan kanak-kanak dalam depo bagi menyediakan suasana yang lebih kondusif.
“Seterusnya, inisiatif bagi memperkasa Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) oleh Jabatan Pendaftaran Negara yang bersifat outreach untuk membantu rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman dan uzur dalam pengurusan berkaitan dokumen pengenalan diri.
“Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha menaik taraf dan memperbaiki sebanyak mungkin kuarters anggota keselamatan dan pos-pos kawalan bagi jabatan dan agensi di bawah KDN,” tambah beliau.
Terdahulu, Saifuddin turut menghadiri Program Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri Sabah yang diadakan di Pusat Latihan Rela Negeri Sabah.
Dalam majlis berkenaan, beliau menyerahkan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti, Watikah Pelantikan Ketua Perhubungan RELA Kawasan dan menyempurnakan Jom Exchange Al-Quran.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Komisioner Jeneral Penjara Nordin Muhammad. — JABATAN PENERANGAN SABAH





