PBB Ramal Gaza Bakal Hadapi Kebuluran Terburuk Menjelang Februari 2024

PBB Ramal Gaza Bakal Hadapi Kebuluran Terburuk Menjelang Februari 2024

0
SHARE

ROM – Setiap individu di Gaza yang sedang dilanda peperangan dijangka menghadapi tahap ketidakjaminan makanan tertinggi dalam tempoh enam minggu akan datang, menurut satu laporan oleh sistem pemantauan kebuluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) meramalkan kemungkinan besar menjelang 7 Februari ini seluruh penduduk di Semenanjung Gaza iaitu sekitar 2.2 juta akan berdepan tahap kebuluran terburuk.

IPC mengukur tahap kebuluran melalui lima skala, iaitu daripada tahap satu hingga lima.

“Ini adalah tahap tertinggi bagi situasi ketidakjaminan makanan yang pernah diklasifikasikan oleh inisiatif IPC untuk mana-mana kawasan atau negara,” katanya yang dipetik AFP.

Kesedaran antarabangsa meningkat mengenai nasib penduduk Gaza yang setiap hari berdepan pengeboman, kekurangan makanan dan air serta terpaksa berpindah beramai-ramai.

Selain itu, laporan sama turut meramalkan, sekurang-kurangnya satu daripada empat isi rumah atau lebih setengah juta orang akan menghadapi keadaan terburuk iaitu pada ‘tahap lima’.

“Walaupun tahap kekurangan zat makanan akut dan kematian berkaitan bukan trauma mungkin belum melepasi ambang kebuluran, ia lazimnya adalah hasil daripada jurang pengambilan makanan yang berpanjangan dan melampau,” katanya.