
PENAMPANG, SABAH – Seorang pesara tentera maut selepas hilang kawalan kenderaan Toyota Avanza yang dipandunya berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Papar – Kota Kinabalu sini pada Isnin.
Dalam kejadian 7.53 malam itu, lelaki berusia 56 tahun itu terbabas ke kiri bahu jalan menghala ke pusat bandaraya.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth.
“Manakala seorang penumpang di tempat duduk hadapan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan.
“Pihak polis turut meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan gambar di lokasi kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga,” Sammy berkata.





