Dua Pencuri Besi Maut Dalam Bilik Tong Gas Karbon Dioksida

Dua Pencuri Besi Maut Dalam Bilik Tong Gas Karbon Dioksida

0
SHARE
Bomba
Anggota pasukan bomba mengeluarkan mayat selepas memecahkan pintu bilik tong gas CO2 ( Sumber Foto: Ihsan JBPM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang wanita dan lelaki maut terhidu gas karbon dioksida (CO2) ketika mencari besi buruk untuk dijual di sebuah kondominium terbengkalai di Jalan Istiadat, Likas, semalam.

Mayat kedua-dua mangsa berusia 43 tahun ditemui dalam bilik penyimpnan tong gas CO2 oleh anak kepada salah seorang mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata hubungan kedua-dua mangsa adalah berkawan dan tinggal serumah.

“Mangsa berdua keluar ke bangunan berkenaan untuk mencari kabel dan besi untuk dijual pada pukul dua pagi.

“Anak mangsa cuba menghubungi mereka namun gagal. Bimbang, anaknya bersama seorang rakan ke bangunan itu untuk mencari mangsa lalu menemui mayat mereka.

“Anak mangsa (saksi) terus memaklumkan pihak polis di pondok polis Likas pada jam 9.30 pagi,” katanya kepada wartawan.

Pasukan bomba dipanggil pada jam 10.22 pagi bagi membuka pintu dan mengangkat mayat keluar.

Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut selepas pihak polis tidak mendapati unsur jenayah di lokasi.

Mayat kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.