PENAMPANG, SABAH – Seorang penunggang motosikal maut terlanggar tiang pembahagi jalan ketika berhampiran bulatan Yue Min, sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira lima pagi itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan maut di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Queen Elizabeth di lokasi.
Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Sammy Newton berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca dari mangsa yang hilang kawalan.
“Mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan menghala donggongon dan melanggar tiang kiri pembahagi jalan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” Sammy berkata dalam sebuah kenyataan hari ini.
Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan.
Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan dan memandu secara berhemah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Orang ramai juga diminta untuk tidak menyebarkan gambar di tempat kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga,” tambahnya.






