KOTA KINABALU: Cadangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Sabah menggunakan pekerja asing sebagai sumber tenaga kerja adalah perkara yang perlu dipertimbangkan dan diberi perhatian.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, cadangan itu bernas kerana Sabah sehingga kini masih lagi kekurangan tenaga buruh di beberapa sektor.
“Saya berpendapat perkara ini boleh dipertimbangkan secara serius kerana industrialisasi memerlukan tenaga kerja yang banyak.
“Kita dapat lihat sektor peladangan sebagai contohnya, isu kekurangan tenaga buruh masih berlaku dan ia sangat serius,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Makan Tengah Hari Bersama Media sempena Tahun Baharu Cina 2024 di sini, semalam.
Sementara itu, katanya, kebergantungan terhadap pekerja asing boleh dikurangkan sekiranya kerajaan negeri mampu menggunakan sumber sedia ada di Sabah.
“Kita memerlukan lebih banyak tenaga kerja, dengan Kibing dan SK Nexillis datang membina kilang besar di negeri ini, kita berhadapan dengan cabaran untuk mendapatkan tenaga buruh untuk mereka.
“Isu ini sensitif dan saya tahu keadaannya. Saya berpendapat rakyat negeri ini wajar mempertimbangkan cadangan dari PBB kerana cadangan mereka itu ada lojiknya.
“Kerajaan secara keseluruhan dan pihak pembangkang perlu mempunyai pendapat yang sama mengenai isu ini dan saling menyokong,” katanya.






