Karnival Raya KPT Merakyatkan Pendidikan Tinggi, Eratkan Silaturahim

Karnival Raya KPT Merakyatkan Pendidikan Tinggi, Eratkan Silaturahim

0
SHARE
Mustapha
Suasana ketika majlis berlangsung ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Karnival Raya Pendidikan Tinggi @Sabah mampu merakyatkan pendidikan tinggi dan mengeratkan silaturahim.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk  Mustapha Sakmud berkata, program Karnival Raya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merupakan yang julung kali diadakan di Sabah dan berkonsepkan gabungan hari raya dan pameran Jom Masuk U.

“Tujuan karnival ini adalah untuk merakyatkan pendidikan tinggi agar sampai kepada masyarakat melalui inisiatif-inisiatif KPT.

“Selain itu, kita juga dapat mengeratkan silaturahim antara KPT dan rakyat setempat melalui jamuan hari raya yang sudah menjadi tradisi kita di negara ini.

“Tidak hanya melibatkan kakitangan, jabatan dan agensi di bawah KPT, karnival ini turut melibatkan ramai mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta pelajar-pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai petugas.

“Harapan saya agar karnival ini bukan kali pertama dan bukan juga yang terakhir malah akan dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Raya Pendidikan Tinggi @Sabah di Dewan Mini Putrajaya, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mustapa menjelaskan statistik peratus pelajar yang mengambil aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini masih rendah.

“Sabah mencatat peratusan terendah iaitu 12.35 peratus melibatkan pelajar yang mengambil STEM di negeri ini.

“Oleh itu, saya minta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) khususnya di Sepanggar supaya meningkatkan lagi kaedah untuk meningkatkan minat pelajar terhadap STEM tersebut.

“Tanggungjawab serta sokongan yang utuh daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan objektif tersebut tercapai,” ujarnya.

Dalam majlis berkenaan, turut diadakan pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) di antara Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar dan Uni Enrol melambangkan komitmen Uni Enrol membantu pelajar-pelajar Sabah memenuhi haluan dan hasrat pengajian tinggi mereka.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan) Jabatan Pendidikan Tinggi, Ahmad Rizal Adnan, Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kamaludin Daud, Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr. Rozita @Uji Mohammed dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof. — JABATAN PENERANGAN SABAH