
KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dinobatkan Johan Pertandingan Gerai Paling Cantik sempena Majlis Raya Perdana Agensi-agensi Islam Negeri Sabah.
Dekorasi gerai JHEAINS mengatasi 21 agensi lain dan memenangi RM2,000, sijil penghargaan dan hamper yang disampaikan oleh Menteri Sains Teknologi & Inovasi yang juga Exco Agama dan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif di Dewan Sa’adah, Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), pada Selasa.
Manakala naib johan dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan masing-masing membawa pulang sijil penghargaan, hamper dan RM1,500.
Turut sama membuka gerai bagi memeriahkan majlis tersebut antaranya Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas), Pejabat Mufti Negeri Sabah, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Lembaga Tabung Haji Negeri Sabah, Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Sabah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) serta beberapa agensi Islam yang lain.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin, Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar, Pengarah JHEAINS, Jumain Abd Ghani dan Timbalan Mufti Sabah, Datuk Manap Lakariba. — JABATAN PENERANGAN SABAH





