- KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menetapkan sasaran 30 peratus penyertaan syarikat tempatan berskala kecil dalam bidang industri melibatkan Perkhidmatan Minyak dan Gas serta Peralatan di negeri itu.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, berdasarkan statistik, penyertaan syarikat tempatan dalam sektor tersebut hanya mencapai 13 peratus berbanding perolehan kontrak oleh syarikat gergasi di negeri ini manakala sebanyak 78 peratus lagi masih tidak aktif.
“Kta mahu penyertaan ini bertambah dan kerana itu kita menubuhkan majlis ini untuk mencari jalan dan juga memantau perjalanan dan penglibatan syarikat-syarikat tempatan ini dalam industri minyak itu sendiri.
“Saya difahamkan salah satu punca kenapa penyertaan penglibatan syarikat-syarikat daripada Sabah ini yang agak rendah ialah kerana kapasiti atau kemampuan untuk mengambil bahagian dalam tender yang melibat kemahiran yang mungkin belum ada di kalangan syarikat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Sabah Local Content Council (SLCC) di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Sementara itu, Masidi yang juga Pengerusi Energy Sdn Bhd berkata, beliau pernah berbincang dengan pihak Petronas dan mencadangkan agar syarikat-syarikat besar yang mendapat kontrak besar di Sabah ini memberi ruang kepada syarikat tempatan untuk bernaung di bawah mereka.
“Saya cadangkan kita ada sistem mentor mentee, maksudnya syarikat yang bukan dari Sabah yang memperoleh kontrak itu hendaklah mendapatkan satu syarikat angkat untuk turut sama dalam kontrak itu sambil mendidik agar syarikat tempatan ini perlahan-lahan boleh jadi syarikat besar.
“Petronas telah bersetuju dengan cadangan ini dan kitaa harap ini dapat dilaksanakan dan di pantau oleh majlis ini,” katanya.






