KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membantah tindakan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) menubuhkan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata tindakan kementerian terbabit disifatkan sebagai satu tindakan melulu berikutan penubuhan JKDM dilaksanakan tanpa sebarang makluman dan persetujuan dari kerajaan negeri Sabah terlebih dahulu.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan menubuhkan jawatankuasa yang diterajui pimpinan UMNO itu adalah tidak perlu disebabkan kerajaan negeri Sabah telah melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Suka saya ingatkan Sabah ini berbeza dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia. Saya fikir kita telah sedia maklum Sabah bersama Sarawak dan Singapura telah menubuhkan Malaysia pada tahun 1963.
“Sudah tentu ada undang-undang khusus berkait rapat dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), maknanya Sabah ada keistimewaan khusus berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia.
“Jadi apa sahaja tindakan yang hendak dibuat di Sabah, sepatutnya dengan beradabnya kerajaan negeri perlu diberitahu terlebih dahulu.
“Malangnya apa yang dibuat KKDW adalah sebaliknya sehingga menimbulkan rasa kurang senang dikalangan pimpinan kerajaan negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di
luar pekarangan Balai Polis Sri Petaling, Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Disamping itu, Zulkarnain turut berkata KKDW yang diterajui Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seharusnya lebih maklum status parti terbabit merupakan pembangkang di Sabah.
“Harus diingat Sabah ini ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH), UMNO ini berstatus pembangkang jadi sudah tentu apa yang dilakukan menteri (dari) UMNO menubuhkan jawatankuasa ini agak pelik.
“Tindakan yang dibuat KKDW ini sebenarnya amat mendukacitakan kita. Kita tampil hari ini buat laporan polis bagi menyuarakan rasa kurang senang rakyat Sabah,” katanya.
Zulkarnain turut mempersoalkan niat sebenar KKDW menubuhkan jawatankuasa terbabit tanpa memaklumkan kerajaan negeri Sabah terlebih dahulu sekiranya ia dilihat memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
Beliau turut menegaskan agar kementerian di peringkat Persekutuan khususnya yang diterajui pimpinan UMNO harus melalui kerajaan Sabah terlebih dahulu sekiranya mahu melaksanakan segala perkara di negeri terbabit.
“Tiada masalah tapi kena melalui kerajaan negeri Sabah. Sekarang (perkara berkenaan penubuhan JKDM) kecoh di laman media sosial.. ia tidak baik.
“Kita berharap selepas ini berhati-hati.
Sentimen orang Sabah tidak sama walaupun tahap toleransi dan lemah lembut cukup tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan telah menyerahkan watikah pelantikan JKDM kepada Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mewakili 132 pengerusi dan setiausaha jawatankuasa itu dari 66 kampung di Kinabatangan.
Susulan itu, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dilaporkan berkata Sabah mempunyai Ordinan Pentadbiran Luar Bandar yang sudah dipinda untuk pentadbiran kampung dan seharusnya hanya satu badan pengurusan kampung di negeri ini.
Menurutnya, Ordinan Pentadbiran Luar Bandar itu telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di mana hanya ada satu pentadbiran kampung iaitu JKKK yang diiktiraf yang dilantik oleh kerajaan negeri.






