TAWAU, SABAH – Seorang wanita 31 tahun melecur di bahagian muka dan kaki kiri dalam kebakaran yang meranapkan 8 buah rumah di Kampung Hidayat, Jalan Apas Batu 4 awal pagi tadi.
Sepasukan 20 anggota Balai Bomba dan Penyalamat Tawau tiba ke lokasi dalam masa 9 minit selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.50 pagi.
“Sebanyak lapan buah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 80×100 kaki persegi terbakar 100 peratus dan terdapat empat buah kereta turut terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba membuat ‘fire break’ dan berjaya menyelamatkan sebanyak 15 buah rumah dari terus terbakar.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran 800 kaki, empat pancutan dark sumber tangki air jentera dan pili bomba,” kata jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Katanya, mangsa wanita terbabit dihantar ke Hospital Tawau menggunakan ambulans sebelum situasi dikawal pada jam 3.43 pagi.
Operasi dilaporkan tamat sepenuhnya pada jam 7.24 pagi.






