LAHAD DATU, SABAH – Seorang wanita membawa bersama kandungannya berusia 8 bulan terjun dari tingkat tiga Hospital Lahad Datu pada Rabu.
Ibu dan anak itu disahkan meninggal dunia setelah usaha pihak hospital untik menyelamatkan nyawa mereka gagal.
Mangsa telah melalui pembedahan untuk menyelamatkan kandungan 33 minggu namun bayi itu disahkan meninggal dunia dalam kandungan.
Mangsa kemudian dimasukkan ke Wad unit rawatan rapi (ICU) dan disahkan meninggal dunia pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata mangsa terdahulu dihantar oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan di zon kecemasan Hospital berkenaan selepas mula bertindak agresif.
“Ketika di wad, mangsa dikatakan cuba untuk terjun dari tingkap namun berjaya dihalang oleh jururawat bertugas.
“Tangan mangsa kemudian diikat tetapi ikatan dibuka pada 6.30 petang selepas diberikan ubat penenang.
“Pada 7.20 malam jururawat bertugas mendapati mangsa tiada di katil dan menemuinya terbaring di atas rumput tingkat bawah,” katanya dalam kenyataan.
Dzulbaharin berkata siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ke atas kematian mangsa.
Walau bagaimanapun, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat.
Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).





