
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri terus bergerak pantas mendokong dasar pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang selari dengan semangat gagasan Malaysia Madani.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Malaysia Madani inginkan negara Malaysia terus membangun pesat, berperanan tinggi di peringkat global dan kembali menjadi negara yang dihormati lagi disegani.
Katanya, kerajaan negeri komited melaksanakan hala tuju negeri dengan penekanan kepada beberapa sektor penting yang terdapat dalam Hala Tuju SMJ khususnya sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan.
“Ketiga-tiga sektor ini telah melonjakkan ekonomi negeri sehingga menarik pelabur ke Sabah sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
“Selain itu, kita turut memberi tumpuan untuk membangunan modal insan dan
memperkasa kesejahteraan rakyat.
“Dengan dokongan jemaah kabinet negeri segala perancangan dan dasar-dasar dapat
dilaksana, sesuai Dasar Hala Tuju SMJ yang menjadi asas kepada corak kemajuan dan
pembangunan negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Himpunan Perdana Rakyat di Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Majlis terbabit dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam pada itu, Hajiji turut berkata Sabah menjadi tumpuan sebilangan pelabur dengan membawa nilai pelaburan mencecah RM12 bilion sejak dua tahun lalu.
Katanya, ribuan peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada belia Sabah hasil kemasukan pelabur domestik dan asing sehingga Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) telah penuh.
Susulam itu, Hajiji menjelaskan pihaknya kini perlu mencari dan mengenal pasti taman
perindustrian yang baharu bagi memenuhi keperluan sektor perindustrian di negeri ini.
“Nilai pelaburan ini dijangka akan meningkat lagi pada tahun mendatang kerana banyak lagi pelabur tempatan dan asing yang menunjukkan minat untuk datang melabur ke Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, hasil kerjasama yang akrab antara pihaknya dengan kerajaan Persekutuan, Sabah berjaya mengikat kerjasama strategik dengan PETRONAS dengan termeterainya perjanjian Commercial Collaboration Agreement (CCA).
Menurutnya, kerjasama terbabit telah memberikan banyak peluang dan manfaat kepada Sabah, seperti penyertaan lebih besar dalam usahasama penerokaan minyak dan gas negeri ini.
Sementara itu, mengenai isu miskin tegar, beliau berkata pihaknya tekad menangani isu itu menerusi pendekatan segera menawarkan
pekerjaan kepada golongan berkenaan yang melibatkan penyertaan beberapa agensi
kerajaan, GLC, pihak swasta termasuk para pelabur.
“Langkah proaktif ini telah berjaya menurunkan jumlah miskin tegar di Sabah kepada hanya 1,147 Ketua Isi Rumah (KIR) setakat Julai tahun ini. Pendekatan agresif ini akan terus kita laksanakan bagi menoktahkan kemiskinan tegar negeri ini.
“Tetapi bilangan rakyat yang termasuk dalam kategori miskin masih ramai di Sabah yang memerlukan pembelaan berterusan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Katanya, melalui usaha yang berterusan dan agresif bagi meningkatkan pertumbuhan
ekonomi, kerajaan akan menerokai sumber baru sebagai tambahan kepada sumber sedia ada.
“Untuk itu, kerajaan negeri sedang menerokai potensi Ekonomi Biru (Blue Economy)
iaitu penerokaan khazanah laut sebagai sumber ekonomi baharu dan lain produk
industri yang boleh dihasilkan daripadanya.
“Negeri Sabah yang dikelilingi oleh Laut Cina Selatan, Laut Sulu dan Laut Celebes berpotensi tinggi untuk aktiviti penerokaan dan pembangunan Ekonomi Biru.
“Pada Oktober nanti, kerajaan negeri akan menganjurkan seminar bertaraf antarabangsa berkenaan ‘The Blue Economy’ yang dijangka akan dilancarkan oleh Perdana Menteri,” katanya.





