TOKYO, JEPUN – Syarikat pengeluar kenderaan Nissan di sini akhirnya mengumumkan pelancaran model baharu ‘GT-R 2022’ dengan dua varian baharu ‘T-Spec’ khas untuk pasaran Jepun yang mana sekaligus digelarkan sebagai ‘supercar-killer’ di negara matahari terbit itu.
Difahamkan, tidak banyak perbezaan berbanding model GT-R R35 terdahulu yang mana kedua-dua model tersebut menggunakan brek jenis ‘carbon ceramic’, ‘spoiler carbon fibre’, penutup enjin khas dan lencana eksklusif pada bahagian hadapan serta belakang kereta.
Nissan GT-R Premium Edition T-spec hadir dengan reka bentuk dalaman yang eksklusif, roda aloi ‘Rays’ berwarna gangsa dan sistem suspensi yang membantu penurunan berat badan kereta.
Manakala lebar keempat-empat roda telah diperluas bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar dan sensitif.
Manakala model GT-R Track Edition Engineered by NISMO T-Spec pula memfokuskan pada peningkatan prestasi pemanduan dengan menggunakan bumbung dan penutup bonet belakang diperbuat dengan ‘carbon fibre’.
Selain itu, prestasi model ini turut telah ditambah baik dengan teknologi NISMO.
Menurut kenyataan rasmi Nissan baru-baru ini, hanya sebanyak 100 unit model edisi khas dirancang untuk dijual kepada pelanggan yang berjaya terpilih secara undian.
Model Premium Edition T-spec dijual pada harga ¥15,904,900 Yen (RM599,716) dan Track Edition Engineered by NISMO T-spec berharga ¥17,881,600 (RM674,250) sahaja.

Tidak dilupakan juga, kedua-dua model GT-R 2022 ‘T-Spec’ hadir dengan dua pilihan warna ikonik Nissan iaitu ‘Midnight Purple’ dan ‘Millennium Jade’.

