JOHOR BAHRU – Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Amran A Rahman dilantik sebagai Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berkuat kuasa Ahad lalu.
Memetik kenyataan BH Online, Amran menggantikan A Rahim Nin yang dilantik sebagai Pegawai Kewangan negeri menggantikan Mohd Nasir Abdul Salam yang bersara mulai Sabtu lalu.
Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, berkata seramai 23 Pegawai Tadbir Johor terbabit dalam rombakan berkuat kuasa Ahad lalu dan 1 November ini.
Katanya, langkah itu membabitkan pertukaran pegawai susulan persaraan pegawai kanan dan kenaikan pangkat.
Katanya, Muhammad Fuad Radzuan yang sebelum ini menyandang jawatan Pegawai Daerah Johor Bahru dilantik sebagai Pengarah JAINJ berkuat kuasa semalam.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Pegawai Tadbir Negeri Johor yang terbabit dengan rombakan itu, berkuat kuasa 1 November ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Johor, Md Rofiki A Shamsudin yang akan mengisi jawatan Pegawai Daerah Johor Bahru.
Pegawai Daerah Tangkak, Abdul ‘Alim Abd Shukor pula bertukar ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Johor, manakala Pegawai Daerah Muar, Mohd Noorazam Osman ke jawatan Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Johor.
Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab Han Ramin beralih ke jawatan Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), manakala Pegawai Daerah Pontian, On Jabbar @ Jaafar ke jawatan Pegawai Daerah Muar.
Pertukaran itu turut membabitkan jawatan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad yang akan menyandang jawatan Pegawai Daerah Batu Pahat.
Jawatan Pegawai Daerah Segamat bakal diisi oleh Abdul Rahman Salleh yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Pengangkutan Awam Johor.
Selain itu, Pengarah Tourism Johor, Mohd Shukri Mohd Masbah dilantik sebagai Pegawai Daerah Pontian, manakala Pengurus Besar Pusat Pelaburan Johor, Mahadon Marnin dilantik sebagai Pegawai Daerah Tangkak.
Pengurus Kanan Entrepreneur Development Centre, Ramli Abdul Rahman pula beralih jawatan ke Ketua Pegawai Eksekutif Pengangkutan Awam Johor, manakala Setiausaha Bahagian Perumahan, Mohd Rafi Abdullah ke jawatan Pengurus Besar Pusat Pelaburan Johor.
Timbalan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang, Abdul Malik Ismail pula akan dilantik sebagai Pengarah Tourism Johor; Pentadbir Tanah Muar, Mohd Radzi Mohd Amin ke jawatan Setiausaha Bahagian Perumahan; Pentadbir Tanah Tangkak, Zainor Adani sebagai Pentadbir Tanah Muar, manakala Setiausaha Bahagian Pengurusan/Protokol, Hazlina Jalil dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Pengerang.
Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Perumahan, Mohd Farid Kassim pula beralih jawatan sebagai Pentadbir Tanah Tangkak; Penolong Pegawai Daerah Johor Bahru, Muhamad Syahrizat Alwee sebagai Setiausaha Majlis Daerah Segamat; Ketua Penolong Pengarah Tanah dan Galian (Pendaftaran Hakmilik), Nurul Ashikin A. Jabar dilantik ke jawatan Penolong Ketua Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Turut tersenarai dalam rombakan itu adalah Setiausaha Sulit Kepada Menteri Besar Johor, Mohd Haniff Ahmad yang akan menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Tanah dan Galian (Pendaftaran Hakmilik) serta Pegawai Tadbir Pejabat Menteri Besar Johor, Ambok Nani Muhamad Nor sebagai Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Johor.





