Fitnah Pemimpin UMNO, Ahli PPBM Mohon Maaf

Fitnah Pemimpin UMNO, Ahli PPBM Mohon Maaf

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelmarin membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi, di sini kerana memfitnah Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Memetik kenyataan BH Online, Berikutan itu, kes saman difailkan Ab Rauf yang juga Setiausaha Kerja UMNO terhadap Ridwan Abu Samah yang juga bekas Ketua Pendaftar PPBM Masjid Tanah, Melaka, selesai.

Ridwan selaku defendan ketika membaca penghakiman persetujuan, menyatakan penyesalan atas kesalahan beliau berhubung status dan status bergambar dimuat naik di laman Facebook atas nama ‘Wan Motor’ dan ‘Ppbm Masjid Tanah’.

“Adalah dalam pengetahuan saya bahawa status bergambar itu adalah mengenai resort di Masjid Tanah yang dimiliki oleh keluarga plaintif (Ab Rauf) dan didaftarkan atas nama abang plaintif, Husin Yusoh.

“Saya menyatakan penyesalan saya atas kesalahan sendiri kerana memahami gambar itu dari konteks yang salah,” katanya sebelum penghakiman persetujuan itu direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datin Faizah Jamaludin.

Sehubungan itu, beliau menarik semula penyataan status dan status bergambar berkenaan, seterusnya berjanji tidak akan menerbitkan perkara sama pada masa depan.

Peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Ab Rauf, membacakan kenyataan balas terhadap penghakiman persetujuan itu yang menjadi penyelesaian penuh dan muktamad bagi tuntutan plaintif terhadap defendan.

“Kesanggupan defendan menzahirkan penyesalan paling mendalam atas penerbitan status dan status bergambar itu, selain aku janji untuk tidak menerbitkan penyataan berunsur fitnah terhadap plaintif pada masa akan datang.

“Plaintif dengan ini menerima pernyataan (permohonan maaf) defendan. Defendan juga akan memuatnaik kenyataan berhubung penghakiman persetujuan dalam akaun Facebook miliknya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penghakiman persetujuan ini,” katanya.

Terdahulu, Hafarizam memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju merekodkan penghakiman persetujuan itu.

Pada prosiding sama, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdullah, memaklumkan beliau diberhentikan sebagai peguam kepada Ridwan.

“Saya menerima surat daripada anak guam semalam (kelmarin) untuk memberhentikan khidmat saya sebagai peguam. Tujuan saya datang hari ini adalah untuk rekod mahkamah,” katanya.

Prosiding hari ini sepatutnya untuk perbicaraan kes dengan Mohamed Haniff, dijadual meneruskan prosiding pemeriksaan balas terhadap Ab Rauf.

Pada 5 Januari lalu, Ab Rauf atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman terhadap Ridwan yang didakwa memuatnaik status dan status bergambar dalam Facebook miliknya mengandungi perkataan memfitnahnya.

Dalam pernyataan tuntutan, Ab Rauf mendakwa perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau seorang tidak jujur dan menggunakan kedudukan serta jawatannya untuk mengaburi dan membeli hati rakyat, khususnya penduduk di kawasan Masjid Tanah.

Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan teladan serta faedah, selain injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada menerbitkan semula perkataan fitnah itu.