Lebih Separuh Pelajar Sabah Cenderung Pilih STEM Sebagai Kerjaya

Lebih Separuh Pelajar Sabah Cenderung Pilih STEM Sebagai Kerjaya

0
SHARE
Arifin
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif ketika sidang DUN Sabah ( Sumber Foto: Ihsan KSTI Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Lebih separuh pelajar Sabah (51.05 peratus) cenderung kepada pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) dan sebagai laluan kerjaya kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

ADUN Gagasan Rakyat – Membakut itu berkata kementeriannya telah melaksanakan pelbagai program termasuk pendekatan tidak formal yang tidak berkaitan dengan kurikulum rasmi sekolah untuk membina minat di kalangan pelajar.

“Antaranya ialah Festival Stem yang diisi aktiviti interaktif seperti eksperimen sains, pertandingan robotik, projek kejuruteraan dan pertandingan matematik.

“Pelaksanaan melibatkan 24 pejabat Pendidikan Daerah yang masing-masing menerima pembiayaan RM15,000 untuk pelajar dan guru.

“Teater Mini Stem juga digunakan sebagai alat untuk mengajar konsep dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif. Program secara berfasa ini adalah untuk mengekalkan minat pelajar.

“Pusat Sains Keningau adalah satu lagi usaha kerajaan untuk menyediakan usaha ‘hands-on, minds-on dan hearts-on’ untuk pendidikan STEM khususnya kepada kalangan pelajar luar bandar.

“Dalam usaha yang sama ialah Pameran Sains Mudah Alih Interaktif hasil kerjasama dengan Muzium Teknologi Sains China dan Muzium Teknologi Sains Guangxi.

“Dalam meningkatkan minat dan prestasi pelajar luar bandar dalam matematik, KSTI juga telah menganjurkan Kem Matematik Pertama 2024 dengan kerjasama UMS.

“Kementerian juga telah menganjurkan Kolokium Pendidikan STEM 2024 yang menjadi platform kepada warga pendidik STEM untik bertukar pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam menangani isu pengajaran dan pembelajaran,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin.

Beliau menjawab ADUN Dilantik Datuk Amisah Yassin yang bertanyakan pendekatan negeri dalam memperbadankan Stem.

Arifin berkata KSTI sentiasa bekerjasama dengan rakan strategik dari Negeri dan Persekutuan serta agensi swasta.

Katanya, pada 2024, sebanyak sepuluh program telah dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik.