Ziva Magnolya Lancar Album Kedua ‘Merangkai’ Berunsur Pop RnB

Ziva Magnolya Lancar Album Kedua ‘Merangkai’ Berunsur Pop RnB

0
SHARE

JAKARTA: Setelah dua tahun dinanti, penyanyi sensasi Indonesia, Ziva Magnolya, akhirnya melancarkan album keduanya bertajuk “Merangkai” di bawah label Universal Music Indonesia.

Album yang menampilkan sembilan buah lagu ini mengetengahkan genre Pop RnB, sebuah impian yang telah lama diidamkan oleh Ziva sejak awal kerjayanya.

“Album ini benar-benar mencerminkan diri saya… saya sangat ingin menghasilkan album Pop RnB kerana saya amat menyukai muzik genre ini,” kata Ziva.

Meneruskan tema cinta yang sinonim dengannya, Ziva mempersembahkan kisah cinta dari pelbagai perspektif dalam Merangkai, menjadikan setiap lagu seolah saling bersambung untuk membentuk sebuah naratif emosi yang mendalam.

Tiga lagu telah pun dilancarkan sebagai single terdahulu – Abadi, Wanita Biasa, dan Cukup – yang mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Album ini turut menampilkan kolaborasi hebat bersama produser terkenal tempatan seperti Laleilmanino, S/EEK, BIANCADIMAS, Dony Manurung, dan ramai lagi.

Antara kolaborasi paling dinanti ialah lagu “Against All The Odds” bersama penyanyi Kaleb J, impian para peminat sejak 2021.

Dari aspek visual, Ziva menggandingkan bakat dengan artis visual terkenal Diela Maharanie untuk menghasilkan reka bentuk album yang berwarna-warni dan penuh karakter.

Beberapa video muzik dan lirik juga diterbitkan, termasuk elemen unik seperti ‘hantu comel’ dalam video lagu Kata Kata, menampilkan tema ‘seram manja’.

“Ceritanya ringkas tapi menarik – tentang cinta yang belum kesampaian dari perspektif orang yang ‘ghosting’ orang lain,” jelas Ziva.

Dengan pengaruh vokalnya yang kuat dan dikenali sebagai Queen of Riff and Runs, Ziva berharap album Merangkai akan menjadi teman harian buat para pendengar.