Gesa Pembinaan Parkir Bertingkat di HWKKS Likas – Noraini

Gesa Pembinaan Parkir Bertingkat di HWKKS Likas – Noraini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris, menggesa agar kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah segera membina tempat letak kereta bertingkat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), Likas, bagi menyelesaikan masalah kekurangan parkir yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Beliau berkata, isu ketiadaan ruang parkir mencukupi memberi tekanan hebat kepada rakyat, khususnya golongan wanita hamil, ibu yang membawa anak kecil, dan ahli keluarga yang menemani pesakit.

“Ramai terpaksa meletakkan kenderaan jauh dari kawasan hospital seperti di sekitar kawasan komersial Kingfisher, dan berjalan kaki dalam keadaan yang tidak selesa dan berisiko.

“Saya sering menerima keluhan ibu-ibu mengandung yang terpaksa berjalan jauh dalam keletihan, bahkan ketika menahan kesakitan untuk mendapatkan rawatan.

“Ada juga suami yang cemas apabila tidak dapat mencari parkir ketika isteri mereka hampir bersalin. Ini bukan hanya isu keselesaan, tetapi isu kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Noraini turut menegaskan bahawa masalah sama turut berlaku di hospital-hospital besar lain di Sabah termasuk Hospital Queen Elizabeth I dan II, Hospital Tawau, dan Hospital Sandakan.

Beliau menyeru agar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memberi pertimbangan serius.

“Sudah tiba masanya suara rakyat didengari. Wanita Sabah telah lama bersabar dan berkorban. Membina parkir bertingkat bukan sekadar membina struktur fizikal, ia melambangkan keprihatinan dan komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat,” katanya.

Noraini juga menggesa Kerajaan Negeri Sabah agar tidak memandang remeh isu ini dan tampil membantu menyelesaikannya secara menyeluruh.

Beliau bimbang sekiranya masalah ini terus dibiarkan, ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan awam.

Katanya, hospital seharusnya menjadi tempat paling selamat dan menyenangkan untuk semua, bukan lokasi yang menambah beban kepada pesakit dan keluarga mereka.