TAWAU: Seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan polis selepas disyaki memukul isterinya menggunakan gitar elektrik dan mengugut mahu menikam mangsa dengan gunting dalam kejadian di Kampung Tanah Merah, Merotai Besar pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata suspek ditahan kurang sejam selepas laporan dibuat oleh mangsa berusia 36 tahun di Balai Polis Bombalai.
“Mangsa mendakwa kejadian berlaku sekitar jam 7.13 malam selepas dia menegur suaminya yang dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah jenis syabu.
“Suspek kemudian bertindak agresif, mengugut untuk menikamnya dengan gunting dan memukul bahu kanan mangsa dengan gitar elektrik,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, laporan diterima jam 10.25 malam sebelum suspek ditahan kira-kira jam 11.35 malam di hadapan rumahnya.
“Siasatan juga mendapati suspek dipercayai sengaja mencederakan tayar kereta isterinya bagi menghalang mangsa daripada membuat laporan polis,” tambahnya.
Polis turut merampas gitar elektrik dan sebilah gunting yang ditemui di tepi jalan berhampiran rumah suspek, dipercayai dibuang selepas kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, dibaca bersama Seksyen 506 kerana ugutan jenayah.






