Bimbang Penggunaan Bahan Pengawet Berbahaya Dalam Hasil Segar – David

Bimbang Penggunaan Bahan Pengawet Berbahaya Dalam Hasil Segar – David

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengguna semakin gusar dengan kemungkinan penggunaan bahan pengawet berbahaya dalam makanan harian, susulan laporan bahawa terdapat peniaga ikan yang dipercayai menggunakan bahan kimia dalam bekas ais bagi memanjangkan kesegaran ikan.

Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (Cawangan Sabah), David Chan, menyatakan kebimbangan serius mengenai perkara ini.

Katanya, pihaknya menerima maklumat bahawa bahan seperti formalin yang lazimnya digunakan untuk mengawet mayat serta bahan berbahaya lain seperti sodium colide turut digunakan dalam pemprosesan ikan, ayam dan sayur-sayuran.

“Kimia seperti ini tidak sepatutnya digunakan dalam makanan. Ia boleh mendatangkan risiko kesihatan yang serius sekiranya dimakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya memperjelaskan jenis bahan pengawet yang dibenarkan untuk makanan dan mengambil tindakan segera bagi menjamin keselamatan makanan kepada orang awam.

“Pendedahan jangka panjang kepada bahan seperti formalin boleh menyebabkan kanser, kerosakan organ dan masalah kesihatan lain yang serius.

“Jika benar berlaku, amalan ini jelas melanggar Akta Makanan 1983 dan peraturan berkaitan,” katanya lagi.

Yayasan itu turut menggesa pihak berkuasa memperluaskan pemantauan terhadap ayam dan sayur-sayuran import yang mungkin juga terdedah kepada penggunaan bahan kimia tidak diluluskan semasa proses pengangkutan atau penyimpanan.

“Kami mahu pemeriksaan ketat dijalankan di pelabuhan masuk, pasar borong dan pusat pengedaran makanan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan makanan negara,” kata Chan.

Beliau turut menyeru agar pemeriksaan rawak segera dijalankan di pasar basah, pusat penyimpanan sejuk dan sepanjang rantaian pembekalan makanan.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan mewujudkan garis panduan yang jelas kepada orang ramai serta mewajibkan pelabelan makanan yang dirawat dengan bahan pengawet.

Katanya pemantauan berkala terhadap produk import juga perlu diberi perhatian, dan kempen kesedaran pengguna wajar dilaksanakan bagi mendidik orang ramai tentang makanan selamat serta bagaimana mengenal pasti dan melaporkan amalan yang mencurigakan.

“Kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia mesti menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” tegas Chan.