SHAH ALAM: Perlumbaan kereta saloon utama negara, VIOS Challenge, bakal mencipta sejarah apabila tampil buat kali pertama di pentas antarabangsa sempena kepulangan semula siri AUTOBACS SUPER GT ke Malaysia selepas 12 tahun.
Acara berprestij ini akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 26 hingga 28 Jun 2025, dan dijangka menarik lebih 40,000 penonton fizikal serta tontonan global melebihi 162 juta.
Sebagai salah satu perlumbaan sokongan utama SUPER GT, VIOS Challenge akan memperkenalkan format perlumbaan ketahanan selama satu jam, menggantikan perlumbaan pecut 30 minit sebelum ini.
Ia akan melibatkan tiga kelas – Super Sporting, Sporting, dan Rookie – termasuk lima pelumba muda dari Program Pembangunan Bakat Toyota GAZOO Racing.
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., berkata penglibatan sebagai penaja utama mencerminkan komitmen syarikat dalam memajukan sukan permotoran tanah air dan membuka ruang kepada pelumba tempatan ke pentas antarabangsa.
Sebanyak 36 pelumba dari Malaysia, Singapura, dan Thailand akan bersaing dalam kereta Toyota VIOS seragam berkapasiti 1.5 liter, merebut hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM800,000.
Selain perlumbaan, pengunjung SUPER GT Malaysia Festival turut disajikan dengan pameran model-model GR seperti GR Supra, GR Yaris dan GR Corolla; jualan barangan rasmi GR; permainan interaktif dan perkampungan budaya Jepun; serta konsert GT Live! menampilkan Garam & Madu, KL48, Kaka Azraff dan ramai lagi.
Tiket kini boleh didapati di www.supergtmalaysia.com, bermula dari RM80 hingga RM2,000 untuk akses VIP.






