PIBKS, PIBG SK Sembulan Kerjasama Bekal Tangki Tambahan Kepada Sekolah Untuk Tampung...

PIBKS, PIBG SK Sembulan Kerjasama Bekal Tangki Tambahan Kepada Sekolah Untuk Tampung Keperluan Harian

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sembulan bekerjasama membekalkan tangki tambahan kepada sekolah rendah itu untuk membantu menampung keperluan bekalan harian susulan berlaku gangguan bekalan air baru-baru ini.

Pengerusi PIBKS, Datuk Mohammad Arif berkata, tekanan air rendah menjadi antara punca utama kerosakan peralatan termasuk pam air di sekolah tersebut.

“Tekanan air yang rendah menyebabkan sistem pam air di sekolah rosak dan tidak tahan lama. Keadaan ini menyukarkan pihak sekolah terutama dalam menguruskan keperluan pelajar, khususnya pelajar pendidikan khas yang memerlukan bekalan air yang mencukupi.

“Memandangkan kawasan Kota Kinabalu menerima hujan yang tinggi, tadahan air hujan juga boleh dimanfaatkan sebagai alternatif. Ini antara inisiatif yang kita usahakan bagi membantu sekolah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-50 Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, pihak sekolah turut berhubung dengan Jabatan Air Negeri Sabah, namun gangguan bekalan air yang berlaku secara tidak menentu turut menyumbang kepada kerosakan sistem dalaman sekolah.

“Apabila air ada, pam pula rosak. PIBG dan pihak sekolah tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menampung kos pembaikan segera, dan perlu memohon sumbangan dari masa ke masa,” katanya.

PIBKS memberi jaminan akan terus memantau dan menyokong inisiatif PIBG dalam memastikan kelangsungan pembelajaran pelajar tidak terganggu akibat masalah bekalan air.

Sementara itu, Arif turut menyeru ibu bapa dan pihak sekolah jadikan PIBKS dan PIBG sebagai platform kukuh untuk menjalin kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan dan kebajikan pelajar.

“Saya berharap ibu bapa dapat melihat PIBG ini bukan hanya sebagai satu persatuan, tetapi satu landasan penting untuk memperkukuh hubungan dengan pihak sekolah. Dengan kerjasama yang berterusan, pelbagai program dapat dilaksanakan demi kemajuan anak-anak kita,” jelasnya.