KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang hari ini menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Mesra Rakyat (RMR) 2025 di Kampung Kapayan, melibatkan lima keluarga yang menerima kunci rumah baharu dan lima lagi menerima surat tawaran pembinaan rumah.
Program RMR di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah melalui skim subsidi dan pinjaman mudah. Sehingga kini, lebih 71,000 unit rumah telah dibina di seluruh negara termasuk 2,556 unit di Sabah.
Jannie menegaskan komitmennya untuk memastikan dasar kerajaan diterjemah kepada hasil nyata.
“Peranan saya bukan hanya di Dewan Undangan Negeri, tetapi memastikan dasar seperti ini benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut mengakui permintaan terhadap perumahan mampu milik di Kapayan semakin tinggi, memandangkan kawasan itu merupakan gabungan bandar dan desa yang pesat berkembang.
Katanya, pembangunan perlu dilaksanakan secara tersusun agar tidak menjejaskan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti sedia ada.
Bagi tahun ini, beliau meluluskan pembaikan kepada 10 rumah penduduk berpendapatan rendah dan menyokong pembinaan 40 unit Rumah Sabah Maju Jaya di Kapayan.
Jannie juga menyuarakan sokongan padu kepada SPNB dan agensi berkaitan dalam membawa pembangunan yang inklusif dan berpaksikan keperluan sebenar rakyat.
Beliau berharap rumah-rumah baharu yang diserahkan menjadi tempat tinggal yang selesa dan selamat, serta asas kukuh dalam membina masa depan keluarga.






