KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa menyokong Kerajaan Perpaduan merupakan keputusan terbaik demi masa depan Sabah.
Beliau berkata ia setelah pengalaman pahit berdepan layanan dingin terhadap blok Borneo oleh pentadbiran Persekutuan yang sebelum ini.
Menceritakan pengalaman beliau bersama Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan ketika mempromosikan konsep Blok Borneo di ibu negara, Hajiji berkata mereka bertemu seorang pemimpin yang menyindir dengan mengelar dirinya Master (ketua) bagi Sabah.
“Jelas sekali beliau tidak suka Borneo Bloc, tidak mahu kita berkongsi pengalaman dengan Sarawak, dan langsung tidak menghargai aspirasi kita.
“Saya terdiam dan berfikir panjang. Kata-kata itu membuat hati saya tawar kepada mereka,” katanya dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah pada Ahad.
Katanya, saat itu menjadi detik penting beliau mengubah haluan menyokong Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sabah ini tanah kita, kita yang mencorak masa depan negeri ini. Bukan orang luar yang datang mahu mengatur kita,” tegas beliau.
Menurut Hajiji, di bawah Kerajaan Perpaduan, banyak tuntutan lama Sabah termasuk dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akhirnya diberi perhatian dan diluluskan.
“Sebelum ini amat sukar untuk kuasa diturunkan, tapi sekarang ia menjadi kenyataan. Sebab itu GRS terus menyokong kerajaan ini kerana mereka mendengar,” katanya.
Beliau menegaskan keputusan itu bukan berdasarkan emosi, tetapi soal maruah negeri.
“Kalau kerajaan ini baik untuk Sabah, kenapa kita tidak sokong?” katanya.






