KOTA KINABALU: Sebanyak 287 ekor tikus telah ditangkap dan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) setakat 27 Julai, menerusi Pertandingan Tangkap Tikus yang menawarkan insentif RM2 seekor.
Kempen yang berlangsung sepanjang Julai ini bertujuan membanteras infestasi tikus yang boleh menyebarkan penyakit seperti Leptospirosis.
Kempen tersebut dilaksanakan bersempena Kempen Membasmi Tikus di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Tahun 2025 anjuran KPKT, melibatkan 10 PBT seluruh negara.
Seiring itu, DBKK turut menganjurkan Pertandingan Keceriaan Gerai Penjaja di Pasar Besar Kota Kinabalu bagi menggalakkan amalan kebersihan dan keceriaan dalam kalangan 971 penjaja dari enam kategori gerai.
Majlis penyampaian hadiah telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi) DBKK, Robert Lipon.
Penilaian pertandingan dijalankan dari 1 hingga 23 Julai, berdasarkan pematuhan lesen, kebersihan, kekemasan, kreativiti dan amalan hijau.
Pemenang menerima wang tunai RM200, RM150 dan RM100 beserta sijil.
DBKK menggalakkan orang ramai terus menyertai usaha membasmi tikus sehingga 31 Julai dengan menyerahkan tangkapan mereka di Kaunter Pembelian Tikus di Pasar Besar Kota Kinabalu.
Inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif dalam memelihara kesihatan awam dan meningkatkan persekitaran pasar yang lebih bersih dan selesa.






