KOTA KINABALU: Unit Latihan Khas Pendidikan Politik Wanita Muda dicadang untuk ditubuhkan sebagai platform formal dan tersusun bagi memperkasa pemahaman politik dan kesedaran hak dalam kalangan generasi wanita muda negeri ini.
Ketua Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Karambunai, Lauriea Ezra Didit ketika mencadangkan perkara itu berkata, pendidikan politik bukan bermaksud melahirkan ahli politik semata-mata, tetapi membina kefahaman menyeluruh tentang bagaimana kerajaan berfungsi, bagaimana undang-undang digubal, serta bagaimana suara rakyat khususnya wanita muda boleh membentuk masa depan negara.
“Jika wanita muda tidak faham sistem politik, suara mereka akan terus tenggelam. Sudah tiba masanya kita bukan hanya sedarkan mereka, tetapi melatih mereka untuk menjadi pencatur, bukan sekadar penyokong,” katanya dalam ucapan perbahasan sempena Persidangan Agung Tahunan Beliawanis Gagasan Rakyat, baru-baru ini.
Lauriea turut menzahirkan kebimbangan terhadap tahap kesedaran wanita muda terhadap hak-hak asas mereka yang masih rendah, terutamanya berkaitan gangguan seksual, diskriminasi tempat kerja dan penglibatan dalam proses masyarakat.
“Bila kita tak tahu hak kita, di situlah kita mudah ditindas dalam diam,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan penubuhan Unit Latihan Khas Pendidikan Politik Wanita Muda di peringkat cawangan, bahagian dan negeri, yang berfungsi sebagai pusat latihan sistematik dengan pendekatan interaktif, praktikal dan relevan.
Antara modul dan komponen latihan yang dicadangkan termasuklah, Pengenalan kepada sistem politik dan pentadbiran negara; hak wanita dalam perundangan; latihan debat dan pengucapan awam profesional; etika kepimpinan dan pengurusan organisasi; strategi menangani diskriminasi dan cabaran gender; dan sesi ‘coaching’ dan perkongsian bersama pemimpin wanita senior.
Lauriea menegaskan bahawa program ini perlu digerakkan melalui kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan, NGO wanita, serta institusi pendidikan agar dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Kita mahu lihat gadis 18 tahun yang sebelum ini tidak kenal siapa wakil rakyat, akhirnya menjadi pengundi berprinsip, kemudian memimpin organisasi, dan suatu hari berdiri di dewan ini sebagai pemimpin utama negara.
“Cukuplah sudah kita jadi pendengar setia, kini tiba masanya kita menjadi penyampai suara. Wanita muda Sabah bukan sekadar ada nombor keahlian, tapi punya jiwa perjuangan,” tegas Lauriea.






