SPRM Sabah Catat Pelbagai Kejayaan, Karunanithy Tamat Tugas Rakam Penghargaan

SPRM Sabah Catat Pelbagai Kejayaan, Karunanithy Tamat Tugas Rakam Penghargaan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mencatat pencapaian memberangsangkan sepanjang hampir enam tahun diterajui Datuk Karunanithy Y. Subbiah, yang menyerahkan tugas kepada pengganti baharu.

Antara kejayaan utama SPRM Sabah termasuk siasatan beberapa kes berprofil tinggi seperti Ops Penyata, Ops Tax, Ops Syringe dan Ops YB.

Setakat Julai 2025, 278 maklumat diterima, 137 kertas siasatan awal dibuka, menghasilkan 41 tangkapan dan 28 pertuduhan.

SPRM juga menubuhkan pasukan petugas khas dengan Kerajaan Negeri untuk mengesan ketirisan Cukai Jualan Negeri mencecah RM64.5 juta.

Dalam sektor pencegahan, pelbagai program dilaksanakan termasuk penerbitan buletin D’Bayu, Konvensyen KITA, Hari Antirasuah, dan program integriti melibatkan agensi persekutuan serta inisiatif potongan cukai bernilai lebih RM160,000.

Bagi sektor pengurusan, pencapaian termasuk naik taraf cawangan SPRM Keningau, pembinaan pejabat baharu, dan penerimaan Anugerah Pengurusan Kewangan Negeri 2024.

Dalam ucapan perpisahannya, Karunanithy menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Persekutuan, warga SPRM, media, serta komuniti tempatan atas sokongan.

Beliau turut menyeru agar budaya integriti dan profesionalisme diteruskan di bawah kepimpinan baharu, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.

“Menjadi cemerlang itu mudah, tetapi cabaran terbesar adalah untuk mengekalkannya,” katanya.