Peguam Ibu Zara Harap Tiga Permintaan Utama Termasuk Gali Kubur Dimasukkan Dalam...

Peguam Ibu Zara Harap Tiga Permintaan Utama Termasuk Gali Kubur Dimasukkan Dalam Arahan Terkini

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima semula laporan penuh siasatan awal kematian Allahyarhamah Zara Qairina binti Mahathir bersama arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara semalam, menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh firma guaman Hamid Ismail dan Shahlan Jufri.

Tindakan itu, menurut peguam, adalah sejajar dengan permintaan rasmi yang telah dikemukakan kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, menerusi surat bertarikh 5 Ogos 2025.

Dalam kenyataan tersebut, pihak peguam memaklumkan bahawa mereka berharap tiga permintaan utama telah dimasukkan dalam arahan terkini kepada PDRM, termasuklah, penyiasatan dijalankan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman; 

“Seterusnya, penggalian semula kubur Allahyarhamah Zara bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian, dan pelaksanaan inkues bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematian tersebut.

“Selain itu, bagi membantu melengkapkan siasatan polis, ibu kepada Allahyarhamah, Noraidah Lamat, dijadualkan akan menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada pihak polis pada petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Kepayan.

“Telefon berkenaan mengandungi rakaman audio perbualan telefon antara beliau dan anaknya yang dianggap berpotensi penting dalam siasatan,” kata mereka dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Firma guaman itu turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara atas tindakan pantas dan kerjasama dalam usaha mencari keadilan buat Allahyarhamah Zara.

Pihak keluarga, masyarakat, dan seluruh negara kini menanti perkembangan lanjut dalam siasatan yang sedang berlangsung, dengan harapan segala persoalan berhubung punca dan keadaan sebenar kematian tragis Zara dapat dirungkai secara adil dan menyeluruh.