TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai mencederakan rakannya menggunakan sebatang tombak besi dalam satu insiden di Kampung Kurnia Jaya, di sini.
Menurut pihak polis, kejadian berlaku akibat salah faham antara suspek dan mangsa, sebelum suspek bertindak agresif dengan menyerang mangsa menggunakan senjata tajam sehingga terkena bahagian muka mangsa.
Mangsa yang cedera dan ketakutan kemudiannya melarikan diri dan membuat laporan di balai polis berdekatan.
“Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan dan berjaya menahan suspek.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek adalah warganegara asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah.
“Suspek turut membawa pihak polis ke kawasan Batu 3, Jalan Apas, di mana senjata yang digunakan sebatang tombak besi telah berjaya dirampas,” jelas Polis Tawau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Suspek kini ditahan bersama barang rampasan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan pertikaian dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.






