TAWAU, SABAH – Sebuah bot kargo tempatan bersama muatan lebih 4000 kilogram ketam bakau hidup ang disyaki diseludup dari negara jiran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Sungai Tawau pada jam 8.00 pagi, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, bot jongkong terbabit dipintas dan diperiksa oleh kapal ronda KM Kapas yang sedang melaksanakan Ops Cegah Pati Selatan.
Bot Jongkong terbabit dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari sempadan perairan negara menuju ke arah muara Sungai Tawau.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot jongkong yang dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun…
“Pemeriksaan ke atas lesen juga mendapati lesen dari vesel berlainan berikutan nombor pendaftaran pada lesen berbeza dengan nombor pendaftaran pada bot.
“Bot terbabit juga gagal mengemukakan sebarang permit kebenaran yang sah berkaitan kargo atau muatan yang dibawa,” beliau berkata.
Hasil soal siasat, lelaki terbabit mengaku menerima upah bagi membawa hasil laut itu dari pemilik bot.
Kata Siva, pihaknya percaya terdapat segelintir pengusaha mengambil jalan mudah bagi mengaut keuntungan berganda dengan melaksanakan pemindahan hasil laut dari bot asing ke bot tempatan secara sembunyi di kawasan sempadan agar hasil laut tersebut dapat dibawa masuk tanpa melalui prosedur import dan eksport yang sah.
“Ini berikutan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan kemasukan vesel (non conventional ships) dari negara jiran sekaligus menghentikan aktiviti import dan eksport hasil laut,” tambahnya.
Bot, juragan beserta semua hasil laut tersebut ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Tawau untuk siasatan lanjut. Pemilik bot juga akan dipanggil untuk diambil keterangan.