Lelaki Miliki Syabu Gagal Lari Dari Polis di Kawasan Setinggan Tawau Lama

Lelaki Miliki Syabu Gagal Lari Dari Polis di Kawasan Setinggan Tawau Lama

0
SHARE

TAWAU: Tindakan seorang lelaki melarikan diri selepas terserempak dengan sepasukan polis dalam Ops Tapis di kawasan setinggan Tawau Lama akhirnya gagal apabila dia berjaya ditahan selepas bergelut dengan anggota polis di sebuah jambatan, semalam.

Menurut kenyataan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tawau, operasi tersebut dijalankan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, semasa operasi dijalankan, suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan cuba meloloskan diri selepas menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek dan beg silang yang dipakainya, polis telah menemui 19 paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 50.88 gram,” katanya.

Suspek bersama semua barang rampasan telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pihak polis menegaskan komitmen mereka untuk meneruskan operasi secara berterusan dalam usaha membanteras sindiket pengedaran dadah di daerah ini dan menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah demi keselamatan komuniti setempat.