KPDN Jamin Harga Telur Terkawal Selepas Subsidi Ditarik

KPDN Jamin Harga Telur Terkawal Selepas Subsidi Ditarik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan harga telur akan kekal berpatutan dan bekalan mencukupi di seluruh negara, susulan penarikan subsidi baru-baru ini.

Timbalan Menteri, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata penguatkuasaan akan dipertingkat bagi menghalang mana-mana pihak daripada mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“KPDN akan terus memastikan tiada pihak mencatut harga. Bekalan mesti sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna di seluruh negara,” katanya.

Pada Jumaat, beliau telah melakukan lawatan penguatkuasaan ke STF Agriculture Sdn Bhd di Tamparuli.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, KPDN sedang meneliti penggubalan undang-undang khusus untuk mengawal selia e-dagang.

Ini selepas kajian mendapati margin keuntungan dan komisen peniaga di platform beli-belah dalam talian semakin tertekan, terutamanya ketika jualan bulanan berskala besar.

Sesi libat urus bersama pemain industri, platform digital, persatuan peniaga, pertubuhan pengguna, agensi kerajaan, pakar perundangan dan akademik turut membincangkan isu penjualan barangan tiruan, iklan mengelirukan, penggunaan identiti palsu oleh penjual, serta kesukaran membuat tuntutan bayaran balik daripada pembekal luar negara.

Fuziah berkata undang-undang baharu itu akan berteraskan tiga aspek utama iaitu tanggungjawab industri yang lebih jelas, penguatkuasaan lebih tegas, dan perlindungan menyeluruh kepada pengguna serta peniaga kecil.

“Kita mahu ekosistem e-dagang yang bukan sahaja inovatif, tetapi juga selamat, telus dan beretika,” katanya.