Kain Rentang Justice For Zara di Sipitang Tular Dipolitikkan Pihak Tidak Bertanggungjawab

Kain Rentang Justice For Zara di Sipitang Tular Dipolitikkan Pihak Tidak Bertanggungjawab

0
SHARE

SIPITANG: Sekretariat Justice For Zara Sipitang mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang menularkan sebuah video suntingan berniat jahat, dikaitkan dengan pemasangan kain rentang Justice For Zara di salah satu papan iklan di Pekan Sipitang.

Dalam satu kenyataan media semalam, sekretariat itu menyifatkan perbuatan tersebut sebagai usaha memburuk-burukkan pihak tertentu dan cubaan mempolitikkan isu yang sepatutnya menjadi agenda bersama demi menuntut keadilan buat Allahyarhamah Zara Qairina.

“Isu berkaitan arwah adik Zara Qairina bukan ruang untuk meraih keuntungan politik atau mencipta polemik murahan. Perbuatan memutar belit fakta dan menyebarkan video mengelirukan hanya akan mencemarkan kesucian perjuangan solidariti rakyat,” tegas kenyataan itu.

Sekretariat dalam kenyataan sama turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin atas sokongan padu terhadap pemasangan kain rentang tersebut sebagai tanda solidariti bersama keluarga arwah dan seluruh rakyat yang menuntut keadilan.

Dalam pada itu, sekretariat juga menyeru semua pihak agar tidak menjadikan isu ini sebagai bahan politik, sebaliknya kekal fokus kepada matlamat asal gerakan Justice For Zara yang mahu menegakkan kebenaran, memberikan keadilan, dan menjaga maruah semua pihak terlibat.

“Jangan sekali-kali memainkan isu ini demi kepentingan tertentu. Biarlah perjuangan Justice For Zara kekal murni, bersih, dan berpaksikan prinsip kemanusiaan,” kata Pengiran Junaidi Pengiran Hj Tinggal di laman Facebooknya bagi mewakili sekretariat berkenaan.