Pesta Labuk Pacu Pelancongan, Lonjak Ekonomi Beluran

Pesta Labuk Pacu Pelancongan, Lonjak Ekonomi Beluran

0
SHARE

BELURAN: Pesta Labuk Beluran 2025 yang julung kali dianjurkan di sini diangkat sebagai platform penting untuk memelihara warisan budaya, memperkukuh perpaduanmasyarakat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penganjuran acara itu membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap usaha kerajaan negeri memartabatkan seni, budaya dan identiti tempatan.

“Pesta ini bukan sahaja mempamerkan keunikan budaya masyarakat setempat, malah menjadi wadah memupuk semangat kebersamaan.

“Semangat kerjasama yang ditunjukkan wajar dicontohi demi memastikan warisan ini terus kekal untuk generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Pesta Labuk Beluran 2025 di Tapak Tamu FAMA, Pekan Beluran pada Sabtu.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa meraikan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan negeri, dan bukannya perbezaan yang memecahbelahkan rakyat.

Bersempena pesta itu, beliau turut melancarkan Projek Pembangunan Industri danSumber Kerang Sabah di Jeti Muara, Beluran, sebagai kesinambungan projek rintis di Tuaran pada Julai lalu.

Katanya, projek seluas 1,300 hektar itu akan melibatkan 650 Ketua Isi Rumah(KIR)mengusahakan ternakan kerang darah secara berkelompok dan sistematik.

Ia dijangka menghasilkan 3,240 metrik tan setahun bernilai pasaran sekitar RM34.4juta dengan potensi pulangan pelaburan sehingga tujuh kali ganda.

“Pembangunan industri kerang darah ini berasaskan komuniti, menjana pendapatan, membuka peluang pekerjaan dan pada masa sama melindungi habitat marin. Beluran bakal menjadi penanda aras akuakultur mampan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menghargai kerjasama strategik Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Jabatan Perikanan Malaysia(DOFM) dan Jabatan Perikanan Negeri Sabah (DOFS) dalam merealisasikan projek berkenaan.

Hajiji mencadangkan agar Pesta Labuk Beluran dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri supaya ia dapat menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Keunikan seperti muzik tradisi Titik Tungkil, tarian Magalai Labuk dan pakaian tradisi Sabung Labuk adalah khazanah sejarah yang perlu dipelihara dan dipromosi secara berterusan,” katanya.

Hajiji juga mengumumkan kelulusan untuk membina jeti pelancongan dan jalan raya menghubungkan Kampung Air Beluran, di sini seperti diminta Samad.