Prosiding Inkues Kes Zara Qairina Bermula 3 September Depan 

Prosiding Inkues Kes Zara Qairina Bermula 3 September Depan 

0
SHARE

Oleh: Mirlen Axtius

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini menetapkan 3 September 2025 sebagai tarikh bermulanya prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian remaja, arwah Zara Qairina Mahathir, 13 tahun.

Hakim Azreena Aziz, yang bersidang sebagai Koroner, turut menetapkan 19 hari perbicaraan iaitu pada 3 hingga 4, 8 hingga 12, 17 hingga 19 dan 22 hingga 30 September.

Pegawai pengendali inkues, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairus Johari memaklumkan setakat ini seramai 195 saksi telah dirakam keterangan, namun jumlah tersebut akan dikurangkan untuk dipanggil sepanjang prosiding. 

Beliau dibantu tiga lagi Timbalan Pendakwa Raya iaitu Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.

Ibu arwah, Noraidah Lamat, 45, diwakili pasukan peguam diketuai Hamid Ismail bersama Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

Turut hadir sebagai pemerhati, Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Datuk Mohamed Nazim Maduarin.

Semalam, Jabatan Peguam Negara mengesahkan inkues perlu dijalankan selaras subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593], bagi menentukan punca kematian serta meneliti sama ada wujud unsur jenayah.

Terdahulu media melaporkan, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 16 Julai, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu.