13 Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Didapati Bersalah Bunuh Nazmie Aizzat

13 Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Didapati Bersalah Bunuh Nazmie Aizzat

0
SHARE

TAWAU: Tragedi hitam yang mengejutkan Sabah tahun lalu kini menemukan noktah di Mahkamah Tinggi Tawau apabila seramai 13 pelajar lelaki Kolej Vokasional Lahad Datu didapati bersalah membunuh rakan asrama mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan.

Keputusan itu diumumkan oleh Hakim Datuk Duncan Sikodol selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh yang masih berusia belasan tahun, antara 16 hingga 19 tahun.

Insiden berdarah yang berlaku di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian pada malam 21 Mac hingga pagi 22 Mac tahun lalu, akhirnya menyingkap realiti kejam buli asrama yang berakhir dengan nyawa seorang remaja melayang.

Pendakwaan dikendalikan oleh TPR Nur Nisla Abdul Latif dan TPR Ng Jhun Tao, dengan siasatan dijalankan pegawai penyiasat ASP Suddin Tjinke dari IPD Lahad Datu.

Manakala, kesemua tertuduh diwakili barisan peguam dari pelbagai firma ternama termasuk Ram Singh Harbans & Co, LCZ Law Firm, Johari, Zelika & Amin, Vivian Thien & Associates, Kang Advocates, Kusni & Komariah, serta Chang & Kamarudin.

Mahkamah menangguhkan hukuman sehingga 28 Ogos depan bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebelum menentukan nasib 13 pelajar tersebut.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sepanjang hayat jika sabit kesalahan.

Perbicaraan ini bukan sahaja membuka luka lama kepada keluarga mangsa, malah menjadi amaran keras kepada masyarakat tentang bahaya budaya buli yang semakin berakar umbi dalam institusi pendidikan.