KOTA KINABALU: Makanan Malaysia diiktiraf sebagai yang paling sedap di Ekspo Dunia Osaka 2025 dalam satu tinjauan khas oleh Yomiuri TV Jepun pada 21 Ogos.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pencapaian itu mencerminkan keunikan dan kehebatan makanan serta hospitaliti Malaysia di mata dunia.
Beliau sebelum ini memuat naik status di Facebook bahawa beliau sendiri mencuba salah satu hidangan iaitu roti canai di ekspo tersebut.
Walaupun dijual pada harga RM50 sehelai, roti canai itu tetap mendapat sambutan luar biasa dengan jualan sekitar 1,500 helai sehari.
Menurutnya, ramai pengunjung sanggup beratur selama dua jam semata-mata untuk mencuba roti canai Malaysia.
Beliau turut berkongsi bahawa hidangan di Pavilion Malaysia telah diundi sebagai nombor satu dalam tinjauan khas ‘Expo Gourmet’.
Katanya, Malaysia sentiasa percaya makanan tempatan adalah yang terbaik, dan kini pengunjung di Ekspo Dunia Osaka 2025 mengesahkannya.
Tempat kedua dalam kategori ini dimenangi oleh Australia, manakala Arab Saudi, Jerman dan Perancis berkongsi tempat ketiga.
Tengku Zafrul juga memberi penghargaan kepada seluruh pasukan Pavilion Malaysia atas usaha mereka sepanjang ekspo tersebut.
Beliau menegaskan kemenangan itu lebih istimewa kerana tinjauan dilakukan dengan pemegang pas musim Expo 2025, iaitu mereka yang kerap menikmati makanan di sana, bukan sekadar sekali sahaja.






