KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dalam soal akidah, pembangunan dan kesejahteraan ummah.
Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa komited menyokong pembangunan syiar Islam melalui agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta NGO Islam termasuk USIA dan ABIM.
“Selaras dengan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Kerajaan Negeri turut menyediakan biasiswa melalui MUIS dan Baitulmal dengan kerjasama Yayasan Sabah bagi melahirkan modal insan cemerlang,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Hajiji berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, dana besar telah disalurkan untuk menaik taraf masjid, surau serta melaksanakan latihan pembangunan para du’at.
Usaha itu akan diteruskan dalam RMK-13 dengan penekanan terhadap transformasi dakwah digital, penempatan pendakwah di kawasan pedalaman dan pulau, serta program belia MADANI.
Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan watikah pelantikan 33 Imam Daerah di seluruh Sabah, selain mengumumkan kenaikan elaun bulanan sebanyak RM1,000 kepada mereka.
Kerajaan Negeri juga bersetuju menaikkan elaun Guru KAFA dan Imam Rawatib sebanyak RM200 sebulan, melibatkan peruntukan hampir RM15 juta setahun untuk 2,480 Guru KAFA dan 1,643 Imam Rawatib.
Sementara itu, seramai 394 Guru Takmir turut menerima elaun khas sekali bayar sebanyak RM500.
“Insya-Allah, dengan pertumbuhan ekonomi negeri yang semakin kukuh, elaun golongan agamawan akan terus ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.






