Yayasan Sabah Nadi Pembangunan Negeri – Hajiji

Yayasan Sabah Nadi Pembangunan Negeri – Hajiji

0
SHARE

TAMBUNAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan Kumpulan Yayasan Sabah (YS) telah memainkan peranan penting sebagai nadi pembangunan negeri sejak ditubuhkan pada tahun 1966, dengan memastikan hasil negeri dapat dinikmati bersama oleh rakyat Sabah.

Beliau berkata, Yayasan Sabah bukan sahaja sebuah institusi, tetapi sebuah legasi perjuangan yang diasaskan oleh pemimpin ulung negeri, Allahyarham Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun.

“Tahun hadapan menandakan ulang tahun ke-60 Kumpulan Yayasan Sabah, suatu pencapaian luar biasa bagi sebuah organisasi yang ditubuhkan demi rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di Dataran Pisompuruan, di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, Yayasan Sabah kekal komited dalam memperkukuh agenda pendidikan yang telah membantu ramai anak-anak Sabah keluar daripada kitaran kemiskinan, seterusnya berjaya menjadi profesional dan pemimpin.

Institusi pendidikan milik Yayasan Sabah seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) terus menjadi platform utama melahirkan generasi berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar keluarga berpendapatan rendah, khususnya golongan B40.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa tiada seorang pun anak Sabah akan tercicir daripada melanjutkan pelajaran hanya kerana kekangan kewangan. Sejak 2022, sebanyak RM17.8 juta telah dibelanjakan untuk TPNS, memberi manfaat kepada 10,912 pelajar,” jelasnya.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, YS turut diiktiraf sebagai peneraju dalam pemuliharaan hutan dan kelestarian alam sekitar.

Sehingga tahun ini, seluas 199,146 hektar atau 94.5 peratus daripada kawasan pemuliharaan Yayasan Sabah seluas 210,725.6 hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).

Antara kawasan berkenaan termasuk Lembah Danum, Banjaran Maliau, Imbak Canyon, Sungai Taliwas dan Pantai Silam yang diiktiraf sebagai rujukan saintifik bertaraf dunia.

“Usaha pemuliharaan ini bukan sahaja melindungi alam semula jadi, tetapi mengukuhkan identiti Sabah sebagai negeri yang menghormati warisan semula jadi untuk generasi akan datang,” katanya.

Hajiji menambah, program YSBR 2025 membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk turun padang mendekati rakyat dari bandar hingga ke luar bandar, agar mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Pada majlis itu, beliau diiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, turut menyampaikan tajaan pendidikan Yayasan Sabah, bantuan TPNS kepada pelajar serta warta Tapak Kampung.