KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Negeri Sabah.
Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya berkata, tarikh tersebut menandakan genap lima tahun penggal semasa, sekali gus mengakhiri tempoh mandat rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) terdahulu.
“Apabila penggal berakhir, DUN akan terbubar secara automatik tanpa perlu sebarang pengisytiharan tambahan. Selepas itu, adalah menjadi tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh pilihan raya baharu,” katanya dalam sidang media di DUN Sabah, hari ini.
Beliau menjelaskan, sebarang kekosongan kerusi yang berlaku selepas tarikh berkenaan tidak lagi memerlukan pilihan raya kecil, memandangkan DUN sudah terbubar secara automatik.
“Sekarang kita hanya menunggu arahan dan ketetapan SPR selepas tarikh pembubaran tersebut. Itu adalah tanggungjawab mereka sepenuhnya,” tambahnya.






