PBS, STAR Tegas GRS Tidak Terlibat Dalam Kerjasama PH-UMNO

PBS, STAR Tegas GRS Tidak Terlibat Dalam Kerjasama PH-UMNO

0
SHARE

KOTA KINABALU: Walaupun mengakui wujudnya kerjasama rasmi antara Pakatan Harapan (PH) dan UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah menjadi sebahagian daripada pakatan tersebut.

Dalam mesyuarat bersama pada Rabu yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, kedua-dua parti menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh GRS sebagai gabungan yang diterajui oleh parti-parti tempatan Sabah.

PBS dan STAR juga menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan UMNO/Barisan Nasional, sambil menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan-kenyataan bermusuh dan memperlekehkan GRS oleh UMNO sejak kebelakangan ini.

“Arah tuju politik Sabah mesti berdasarkan mandat dan aspirasi rakyat, tanpa campur tangan pihak luar. Kepercayaan rakyat terhadap GRS dibina atas dasar kebebasan dan keutuhan politik tempatan,” mereka berkata.

Dalam soal agihan kerusi, kedua-dua parti menekankan pentingnya pendekatan yang adil dan saling menghormati sesama komponen GRS.

Mereka turut menyatakan pendirian bahawa keputusan Majlis Tertinggi GRS untuk bertanding di 55 kerusi perlu dikekalkan, demi memastikan keyakinan akar umbi tidak terjejas.

PBS dan STAR turut mencadangkan agar semua calon GRS bertanding menggunakan logo gabungan tersebut, bagi menunjukkan kesatuan dan kekuatan sebagai satu pasukan.

Kedua-dua parti yakin bahawa dengan saling menghormati peranan, berpegang pada prinsip bersama dan mengutamakan suara rakyat Sabah, GRS mampu bergerak ke hadapan dengan lebih kukuh, bersatu dan berdaya saing.