IPOH: Seorang wanita dipercayai kurang siuman bertindak meluru ke arah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika perarakan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pagi tadi.
Wanita berusia 41 tahun itu dilihat berdiri di belakang barisan kenamaan sebelum tiba-tiba berlari menuju ke arah baginda, namun berjaya dihalang oleh pengawal keselamatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Noordin berkata, wanita tempatan itu naik ke pentas utama ketika lagu negeri dimainkan sebelum cuba menghampiri Sultan Nazrin.
“Suspek berjaya ditahan serta-merta oleh anggota keselamatan bertugas dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah selain pernah menjalani rawatan psikiatri dan masih berada di bawah pengawasan pakar.
Bagaimanapun, ujian air kencing terhadapnya didapati negatif.
“Kita menyeru orang ramai agar menghormati acara rasmi negara dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kebimbangan awam,” tegas Noor Hisam.






