SEMPORNA: Polis mengesahkan kejadian pergaduhan yang berlaku di Pulau Timba-Timba dalam daerah ini pada 3 September berpunca daripada pertikaian bayaran mendarat (landing fee) antara pihak syarikat pelancongan dan pengadu yang merupakan pengurus sebuah syarikat pelancongan tempatan.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Jaafar Hakim, insiden tersebut berlaku kira-kira jam 7.56 malam apabila pengadu lelaki berusia 27 tahun mendakwa dirinya diserang beberapa individu ketika membawa sekumpulan pelancong ke pulau berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati pergaduhan itu tercetus selepas pengadu yang sudah membuat bayaran kepada sebuah syarikat untuk aktiviti landing fee, diminta pula membayar bayaran lain oleh sebuah syarikat lain yang turut mengutip caj berkenaan. Pertikaian itu akhirnya mencetuskan insiden pergaduhan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, kejadian tersebut telah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat yang bimbang ia menjejaskan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh dan setakat ini, tiga orang suspek warga tempatan berusia antara 25 hingga 27 tahun telah ditahan,” jelasnya.
Jaafar turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan imej Semporna sebagai daerah pelancongan yang selamat.






