GRS perkemas jentera, yakin hadapi PRN-17 – Yusof Yacob

GRS perkemas jentera, yakin hadapi PRN-17 – Yusof Yacob

0
SHARE

KOTA KINABLU, 27 September – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan keyakinan dan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi

Memetik laporan Astro Awani, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sindumin, Datuk Yusof Yacob berkata, persiapan kali ini memerlukan penyelarasan rapi dan strategi mendekati pengundi secara lebih mikro serta tersusun, dengan tumpuan utama kepada isu-isu rakyat.

“Kita ada lapan komponen dalam GRS. Jangan ada krisis antara komponen itu. GRS secara dalaman mesti bersatu, kemudian bekerjasama dengan rakan luar seperti PH dan komponennya.

“Pendekatan ini penting untuk pastikan kekuatan jentera benar-benar tersusun,” katanya.

Beliau turut mengingatkan calon yang bakal diketengahkan perlu dipilih berdasarkan kemampuan sebenar, bukan sekadar “tangkap muat”, bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan benar-benar memenuhi harapan pengundi.

Dalam masa sama, Yusof menegaskan bahawa GRS telah menunjukkan prestasi baik sejak penubuhannya, termasuk selepas insiden “Langkah Kinabalu” pada awal 2023.

Antara fokus kerajaan negeri kini ialah menyelesaikan isu infrastruktur asas seperti jalan raya dan bekalan air yang diwarisi daripada pentadbiran lalu.

Mengulas dinamika politik semasa, Yusof menyifatkan kemunculan banyak parti kecil atau “parti nyamuk” tidak memberikan kesan besar kerana tidak mempunyai kekuatan mahupun kredibiliti.

Katanya, meskipun keadaan itu mencerminkan demokrasi yang subur, rakyat kini lebih bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah atau persepsi semata-mata.

“Rakyat sekarang bukan bodoh. Mereka tahu menilai mana fakta, mana auta. Sebab itu strategi jentera kita mesti fokus kepada isu rakyat, bukan polemik,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebelum ini memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan sebelum terbubar secara automatik pada 11 November, selaras dengan peruntukan perlembagaan negeri.