STAR Berani Sahut Panggilan Akar Umbi Untuk Bergerak Solo – Anuar

STAR Berani Sahut Panggilan Akar Umbi Untuk Bergerak Solo – Anuar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanahairku (STAR) menegaskan bahawa parti itu mempunyai keberanian untuk bergerak sendiri dalam pilihan raya akan datang, selaras dengan kehendak akar umbi yang disuarakan pada Konvensyen PBS-STAR pada 12 Julai lalu.

Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani berkata para perwakilan jelas dan tanpa ragu menuntut agar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bergerak “solo”.

Katanya, STAR menghormati keputusan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang menawarkan diri untuk mengetuai jentera pilihan raya bagi lima bekas wakil rakyat STAR yang memilih kekal bersama GRS.

“Namun, perjuangan STAR bukan berasaskan individu, sebaliknya demi maruah dan masa depan Sabah. Langkah PBS itu tidak mengejutkan. Bagi STAR, perjuangan kami tetap berteraskan semangat ‘Sabah for Sabahans’.

“Perjuangan menuntut penentuan nasib politik dan ekonomi negeri sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anuar, STAR telah melantik ketua bahagian sementara di semua lima kawasan terlibat bagi memastikan kekuatan parti kekal utuh dan jentera pilihan raya dapat digerakkan sepenuhnya menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Tidak seperti PBS, STAR bertindak atas kehendak dan suara jelas perwakilan yang mahu GRS berdiri sendiri. Kami tidak hanya mendengar, kami bertindak,” tegasnya.