Kerajaan Negeri Teguh Perkukuh Komitmen Majukan Sukan Sabah

Kerajaan Negeri Teguh Perkukuh Komitmen Majukan Sukan Sabah

0
SHARE

TAWAU: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmennya untuk terus memajukan bidang sukan di negeri ini melalui pembinaan prasarana dan pemberian insentif kepada atlet, selaras dengan matlamat melahirkan generasi belia cergas dan berdaya saing.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bukan sahaja membina kemudahan baharu, tetapi turut menyediakan pelbagai program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

“Sememangnya menjadi harapan kita untuk melihat lebih ramai atlet Sabah menyerlah di pentas kebangsaan dan antarabangsa. Kerajaan sentiasa mengiktiraf pencapaian mereka dengan membelanjakan sejumlah besar peruntukan setiap tahun untuk insentif kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Temasya Sukan Sabah (SAGA) XI Tawau di Stadium Tawau hari ini, yang dibacakan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin.

Menurut Hajiji, penganjuran SAGA merupakan platform penting bagi memastikan Sabah tidak ketandusan bakat baharu. Temasya ini menjadi medan mencungkil atlet pelapis yang berpotensi untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.

“Kementerian Belia dan Sukan perlu terus mencungkil bakat muda melalui pelbagai program dan pertandingan di seluruh negeri. Kita mahu sukan menjadi budaya hidup masyarakat Sabah,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua atlet agar menjadikan temasya itu bukan sekadar medan memburu kemenangan, tetapi juga ruang untuk menampilkan semangat juang dan keperibadian tinggi.

“Setiap peluh yang tumpah di gelanggang adalah batu asas untuk kejayaan Sabah pada masa hadapan. Binalah nama baik daerah dan negeri kita,” katanya.

Hajiji turut menyatakan hasrat agar SAGA berkembang menjadi karnival sukan berprestij yang melibatkan penyertaan menyeluruh rakyat Sabah, sekali gus memperkukuh budaya sukan di negeri ini.

“Program sebegini bukan sahaja menyumbang kepada rakyat yang sihat dan cergas, tetapi juga memperkukuh usaha melahirkan lebih ramai atlet muda dan cemerlang,” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap kejayaan beberapa atlet Sabah yang telah mengharumkan nama negeri dan negara di peringkat antarabangsa, termasuk Farrel Glen Felix Jerus (lompat tinggi), Merrywati Manuil (silat), Evan Rich Chong (memanah) dan Jonathan John (tinju).

“Mereka adalah bukti bahawa anak-anak Sabah mampu menjadi kebanggaan negeri dan negara,” tambahnya.

Hajiji menyeru semua peserta SAGA XI agar berjuang dengan disiplin serta semangat kesukanan yang tinggi, dan menjadikan temasya itu sebagai landasan mempertingkatkan prestasi masing-masing.

“Semoga SAGA Tawau 2025 meninggalkan kenangan manis, menyemai semangat juang, dan melahirkan generasi atlet Sabah yang terbilang di persada negeri, negara bahkan dunia,” katanya.

Temasya SAGA XI Tawau menjadi simbol komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa sektor sukan, seiring dengan semangat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan menyeluruh rakyat Sabah dari akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.