62 ahli Warisan sertai Gagasan Rakyat di Pitas

62 ahli Warisan sertai Gagasan Rakyat di Pitas

0
SHARE

PITAS: Seramai 62 ahli Parti Warisan dari Kampung Rosob Pantai hari ini mengumumkan penyertaan mereka ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah.

Menurut Ruddy, langkah itu sekaligus menyaksikan pembubaran cawangan Warisan di Kampung Rosob Pantai, termasuk ketua cawangan bersama beberapa pemimpin akar umbi.

“Ini menunjukkan keikhlasan mereka yang mahu melihat Pitas terus dipimpin oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Mereka menyatakan sokongan penuh kepada saya dan memastikan perancangan pembangunan daerah ini dapat diteruskan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dewan Terbuka Kg Rosob Pantai di sini hari ini.

Ruddy turut menegaskan bahawa penyertaan kumpulan itu merupakan bukti nyata sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat, berbanding dakwaan pihak pembangkang yang disifatkannya sebagai tidak berasas.

“Ini bukan cakap kosong — ini fakta. Kita berurusan dengan angka sebenar. Bukan seperti Warisan yang mendakwa ribuan ahli Gagasan Rakyat keluar parti semasa lawatan mereka ke Pitas baru-baru ini,” katanya.

Beliau mengulas video tular dakwaan seramai 3,000 ahli PGRS menyertai Warisan, dalam jelajah Inspirasi DSSA di Pitas, baru-baru ini.

Ruddy turut mencabar pihak Warisan supaya mengemukakan bukti dan nama ahli yang didakwa telah keluar parti.

“Mereka kata 3,000 orang ahli Gagasan keluar, tapi maklumat kami menunjukkan kehadiran keseluruhan pada program itu hanya sekitar 1,000 lebih orang. Jadi dari mana datangnya 3,000 itu? Semua yang datang itu ada juga dari DUN-DUN lain,” katanya.

Ruddy menegaskan bahawa rakyat Pitas kini semakin matang dan tidak mudah dipengaruhi dengan permainan politik atau propaganda pihak tertentu.

“Rakyat Pitas bukan bodoh. Mereka tahu siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka. Mereka yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dan dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah yang terbukti stabil serta berkesan,” ujarnya.

Beliau menambah, penyertaan beramai-ramai itu adalah tanda jelas sokongan berterusan kepada kepimpinan GRS di Pitas, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-17 pada 29 November ini.