KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu akan melaksanakan penutupan dan lencongan jalan di beberapa laluan utama sempena proses Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 pada 15 November ini.
Penutupan bermula jam 12.01 tengah malam dan dijangka dibuka semula pada jam 12 tengah hari selepas semua urusan selesai.
Bagi kawasan Dewan Maksak (P.171), laluan dari arah Lampu Isyarat Istiadat ke simpang masuk Dewan Maksak akan ditutup sepenuhnya.
Orang awam dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Bulatan Golf atau Kompleks Sukan Likas, manakala penduduk Taman Kenari boleh menggunakan Lorong Kenari 1 atau 2.
Laluan Jalan Teluk Likas dari arah Jalan Tuaran KK ke Dewan Maksak turut ditutup dengan sekatan jalan raya berhampiran simpang Lorong Burung Kenari 1.
Bagi kawasan LHDN (P.172), laluan dari arah Tuaran KK ke susur Jalan Tunku Abdul Rahman akan ditutup dan kenderaan diarahkan menggunakan jejambat menuju ke Lampu Isyarat Kemajuan.
Laluan dari arah Bandaran ke Jalan Tunku Abdul Rahman di bawah jejambat Karamunsing turut ditutup dan dilencongkan ke Jalan Kemajuan.
Penutupan turut melibatkan laluan dari Bulatan Masjid Negeri ke Lampu Isyarat Karamunsing dan Bulatan Nenas ke susur menuju Lampu Isyarat Karamunsing, yang akan dilencongkan ke Bulatan Capital.
“Orang awam dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan petugas polis di lokasi dan mengelak kawasan terlibat bagi mengelakkan kesesakan.
“Kami mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam memastikan proses penamaan calon berjalan dengan lancar dan selamat,” kata Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda.






